Sunday, June 14, 2009

Sekolah Repah


Sekolah pertama saya ialah Sekolah Repah. Mungkin juga ia sekolah pertama bagi kebanyakan penduduk di dalam daerah saya kerana Sekolah Repah ialah satu-satunya sekolah yang ada sebelum sekolah aliran Inggeris atau sekolah lain di bina. Bahkan ia mungkin satu-satunya sekolah yang wujud di daerah saya untuk beberapa dekad sebelum saya dilahirkan. Mak dan abah juga bersekolah di situ di sekitar tahun tiga puluhan.

Bangunan Sekolah Repah di perbuat dari kayu dan beratapkan genting. Kecil dan sederhana buatannya dalam bentuk empat segi tepat. Di bina seperti rumah masyarakat orang melayu, bangunannya di bina berdinding papan dan bertiang, bezanya tiangnya bukan kayu tetapi batu simen yang besar. Tinggi lantai papannya dari tanah anggaran agak tinggi sedikit dari tinggi kanak-kanak berumur tujuh tahun, jadi kawasan bawah bangunan sekolah ini menjadi tempat murid-murid bermain sorok-sorok atau bermain kejar mengejar di waktu rehat .

Bangunannya memanjang sahaja dan boleh memuatkan tiga bilik darjah dan sebuah ruang pejabat. Ruang pejabat dan bilik-bilik darjah di pisahkan oleh pengadang mudah-alih. Sekiranya semua pengadang di alih dan diketepikan maka bilik-bilik darjah menjadi sebuah dewan kecil seperti yang di gunakan semasa hari penyampaian hadiah.

Ada dua set tangga, satu set di bahagian hadapan ruang pejabat yang hanya boleh digunakan oleh kakitangan sekolah yang tediri dari empat orang guru. Satu set tangga lagi di bahagian hadapan bilik-bilik darjah untuk kegunaan murid-murid masuk dan keluar bilik darjah.

Tiga bilik darjah sahaja yang dapat dimuatkan dalam bangunan sekolah ini, darjah satu, darjah dua dan darjah tiga. Dengan ruang yang terhad ini murid A,B dan C tentulah tidak dapat di asingkan dalam bilik kelas berlainan. Murid-murid setiap darjah di sekolah ini tidak ramai jadi mereka di asingkan dalam barisan kerusi. Ketika saya belajar di sekolah ini, setiap darjah ada lima baris kerusi. Murid A duduk dikerusi baris pertama dan kedua , murid B duduk di kerusi baris ketiga dan keempat dan murid C di kerusi baris kelima.

Kawasan sekolah agak luas. Di hadapan bangunan sekolah ada lapangan untuk murid berbaris di waktu pagi sebelum masuk bilik darjah dan tamannya dihiasi dengan beberapa jenis pokok bunga dan menarik sekali ada juga sebatang pokok durian! (pernah pada sekali musim durian, kami murid-murid di jamu pengat durian percuma di waktu rehat!). Kantin kecil pun ada dan padang sekolah pula luasnya boleh memuatkan satu padang bolasepak.

Di sebelah kanan bangunan sekolah ada dua buah rumah guru. Sebuah rumah untuk guru besar dan sebuah lagi, rumah berkembar, untuk guru-guru yang berkeluarga. Saya tertarik dengan rekabentuk rumah-rumah guru tersebut. Agak berbeza dari rumah kampung orang melayu, walaupun ianya di buat dari kayu dan siap bertiang, tetapi ruang bilik dapurnya terpisah dari induk rumahnya. Selain itu diantara induk rumah dan dapur ada pula tersedia lapangan khas, untuk membasuh serta menyidai pakaian, yang tertutup dari pandangan orang luar.

Di kawasan belakang bangunan sekolah ada beberapa batang pokok rambutan dan sebatang pokok melaka (saya pernah beberapa kali memanjat pokok ini untuk mengambil dan merasa buah melaka yang unik itu). Terdapat juga dua buah tandas yang menggunakan sistem curah, dan sebuah perigi kampung yang menggunakan timba yang diikat tali untuk mendapatkan airnya yang jauh di dalam.

Apa yang saya ceritakan tentang Sekolah Repah hanya tinggal kenangan sekarang. Ia sudah tidak beroperasi sejak tahun tujuh puluhan lagi. Sekolah-sekolah yang lebih besar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan dibina dengan terancang di pekan. Bangunan sekolah baru boleh mengambil lebih ramai murid dan dan dapat memuatkan semua darjah didalam sistem sekolah rendah. Guru-guru terlatih pun jauh lebih ramai dan mencukupi untuk mengajar pelbagai matapelajaran.

Mungkin jika bangunan Sekolah Repah, rumah-rumah gurunya masih ada, hatta tandas dengan sistem curahnya sekalipun, masih ada dan di pulihara, mungkin.. boleh di jadikan warisan sejarah derah, atau warisan sejarah negeri.. Sekolah Repah selamat berjaya mengharungi tiga zaman pemerintahan, Inggeris, Jepun dan diikuti pemerintahan Inggeris semula dan terus dapat hidup berjasa dan menyaksikan detik kemerdekaan tanah air pada tahun 1957. Bukankah itu bukti warisan sejarah?

Walaupun zaman dia mencurah jasa telah di tamatkan sendiri oleh anak bangsanya yang merdeka, dan 'kompleks Sekolah Repah' sudah tidak ada lagi untuk di lawati, namun dengan izin Allah S.W.T. selagi minda saya masih sihat, masih banyak warisan kenangan yang sentiasa segar untuk ingatan saya lawati. Untuk mengimbau tiga tahun pertama saya menimba ilmu, mula mengenal huruf , mula pandai membaca dan menulis, mula pandai berkawan dan banyak lagi.., di Sekolah Repah, sekolah pertama saya.





No comments:

Post a Comment