Wednesday, December 24, 2008

Kuning, Jip dan Bobbi

Orang melayu pun pelihara anjing..?!

Hari ini saya tidak pernah dengar ada orang melayu, yang sudah tentunya beragama islam, ada memelihara anjing.

Semasa saya kecil, dalam era tahun enam puluhan, ramai jiran-jiran sekampung saya yang pelihara anjing di rumah mereka. Anjing di perlukan untuk menjaga keselamatan keluarga dan harta benda ketika itu. Salakan anjing peliharaan ini sahaja sudah cukup untuk menghalau binatang liar atau mungkin juga pencuri atau penceroboh untuk menghampiri rumah. Bagi tuan rumah pula, sebaik mendengar anjing peliharaan mereka mula menyalak, mereka tahu ada sesuatu yang perlu di beri perhatian. Mungkin ada orang datang berkunjung, atau mungkin ada kambing atau lembu jiran yang sesat melintasi kawasan luar pagar rumah mereka.

Umumnya orang kampung saya memelihara anjing memang untuk menjaga harta benda, khususnya menjaga padi simpanan mereka. Orang-orang kampung kami mengerjakan sawah padi dan hasil tuaian di simpan didalam satu binaan kecil yamg di panggil kepuk. Dalam keluarga kami kepuk di sebut 'kuwi'. Padi yang di simpan ini selalunya cukup untuk menampung keperluan seisi keluarga hinggalah ke musim menuai yang seterusnya. Memang orang kampung kami tidak perlu membeli beras untuk makanan harian ketika itu. Oleh kerana itu padi di simpan dan di jaga dengan baik dan anjing peliharaan dapat menghindarkan kemungkinan padi di curi.

Kebanyakan jiran memelihara se ekor anjing di setiap rumah. Ada jenis anjing peliharaan yang garang. Bunyi salakannya sahaja boleh membuat orang yang datang berkunjung kecut perut, apalagi sekiranya dia cuba mengejar..! Tuan rumah selalunya mengikat anjing garangnya dengan rantai ketiang rumah agar tidak mengejar orang.

Keluarga saya sendiri ada memelihara tiga ekor anjing. Kami sangat menyayangi anjing-anjing kami yang kami berikan nama kuning, jip dan bobbi. Kuning dan bobbi anjing yang agak matang sementara jip masih keanak-anakan, montel dan suka bermain-main. Anjing -anjing kami tidak garang jadi tidak perlu di rantai bahkan sangat pandai mendengar kata. Kalau abah balik dari kerja, ketiga-tiga ekor teman itu akan berlumba-lumba menyambut kepulangan abah. Ayam itik peliharaan mak tidak pernah di sentuh mereka, begitu juga kerbau dan kambing atuk dan lembu wan yang berpuluh ekor itu.. Kuning, jip dan bobbi adalah anjing peliharaan yang setia.

Apa yang menariknya ialah kami semua faham dan tiada masaalah dengan najis mughallazah yang tiga ekor itu. Seingat saya kami tidak akan bersentuhan apalagi berpelukan dengan kuning, jip dan bobbi seperti yang lazimnya di lakukan oleh pemelihara anjing dari bangsa dan agama lain . Kami sekadar bermain kejar-kejar atau bermain baling-baling kayu.

Kami orang kampung yang selalu pergi ke pinggir hutan yang berhampiran untuk mencari pucuk-pucuk kayu, memungut kayu untuk di jadikan bahanapi atau mencari kerbau atuk yang kadangkala sesat kehutan ketika meragut rumput. Walaupun usia masih kecil saya dan kakak atau abang tidak berasa takut untuk merayau di pinggir hutan untuk tujuan-tujuan berkenaan kerana pasti ada kuning atau jip atau bobbi yang ikut menemani. Bahkan kemana sahaja kami pergi, baik pergi memancing ikan di kolam ikan di tepian sawah bendang yang luas, atau menghantar makanan kepada wan yang mengembala lembu di kaki bukit, pasti kami di temani kuning, atau jip atau bobbi. Kami berasa selamat apabila ada mereka bersama.

Masa berlalu, kefahaman dan penghayatan islam meningkat. Untuk menjaga amal-amal islam khususnya dalam penjagaan taharah iaitu perkara yang berkaitan dengan najis dan bersuci, tidak ada kedengaran lagi orang melayu memelihara anjing.

Hakikatnya kuning, jip dan bobbi adalah sebahagian dari memori indah dalam sejarah hidup saya ketika kanak-kanak.


Thursday, December 18, 2008

Sama tetapi tak serupa

Pulut inti, kuih koci, badak berendam, kuih lopes, buah melaka dan puteri mandi. Enam kuih tradisional melayu ini ada persamaan. Bahan-bahan asas untuk membuat setiap jenis kuih ini adalah sama walaupun cara penyediaan agak berbeza. Tiga bahan asas yang di maksudkan adalah beras pulut, kelapa dan gula melaka.

Mari kita lihat satu persatu bagaimana bahan asas yang sama dapat menghasilkan kuih-kuih yang unik lagi enak.

Pulut inti :
  1. Beras pulut di kukus hingga masak
  2. Kelapa di parut dan di buat inti bersama gula melaka
  3. Gula melaka di masak bersama kelapa parut hingga menjadi inti
Pulut dan inti kelapa dibungkus dengan daun pisang seperti nasi lemak sebelum di hidang.


Kuih lopes:
  1. Beras pulut di kukus hingga setengah masak, dibentuk segitiga dalam lipatan daun pisang kemudian di rebus hingga pulut masak
  2. Kelapa di parut
  3. Gula melaka di masak dengan air menjadi sirap yang agak pekat
Pulut di salut dengan kelapa parut dan hidang bersama sirap gula melaka.


Kuih koci:
  1. Beras pulut di kisar menjadi tepung basah
  2. Kelapa dan
  3. Gula melaka di masak hingga menjadi inti
Sedikit inti kelapa di masukkan kedalam ketulan tepung beras pulut lalu di bungkus dengan daun pisang. Setiap ketulan lebih kurang sebesar telur ayam dan dibuat begini seberapa banyak yang di ingini kemudian di kukus selama anggaran setengah jam.


Badak berendam:
  1. Beras pulut disediakan seperti membuat kuih koci
  2. Kelapa, setengah diambil santan dan setengah lagi seperti kuih koci
  3. Gula melaka bersama kelapa di masak menjadi inti
Cara membuatnya sama seperti membuat kuih koci tetapi tidak di bungkus dengan daun pisangmalah terus di kukus. Santan kelapa di masak dengan sedikit garam untuk di jadikan kuah santan. Ketulan koci yang tidak berbungkus dihidang dengan kuah santan, mmm enaknya..


Buah melaka:
  1. Beras pulut dikisar menjadi tepung yang lembab
  2. Kelapa di parut
  3. Gula melaka di jadikan dadu-dadu kecil
Setiap dadu gula melaka di balut dengan ketulan tepung beras pulut sebesar telur puyuh dan dibuat sedemikian sebanyak mungkin lalu dimasak di dalam air yang sedang mendidih sehingga ketulan-ketulan tadi timbul, di tuskan dan di salut dengan kelapa parut.


Puteri mandi:
  1. Beras pulut dikisar menjadi tepung
  2. Kelapa muda di parut
  3. Gula melaka dimasak bersama air menjadi kuah gula melaka
Tepung beras pulut di buat ketulan-ketulan kecil seperti guli lalu dimasukkan satu persatu kedalam kuah gula melaka yang sedang mendidih sambil dpicit sedikit supaya ketulan-ketulan menjadi agak leper. Kelapa parut juga di gaul masak bersama hingga ketulan tepung pulut masak.

Setiap jenis kuih ini sangat berbeza rupanya walaupun dibuat daripada tiga bahan asas yang sama. Daun pisang dan daun pandan kerap di gunakan untuk menaikkan lagi seri kuih yang terhasil. Daun pisang selalunya di gunakan membungkus kuih koci dan pulut inti. Juga di gunakan untuk membentuk pulut lopes. Daun pandan pula di gunakan ketika memasak inti kelapa untuk mewangikannya. Air daun pandan juga sering digunakan untuk memberi warna hijau kepada pulut lopes dan buah melaka.

Semua kuih ini juga punya persamaan...sangat enak, sangat lazat!

Pada saya orang yang mencipta kuih-kuih ini sangat bijak, kreatif dan innovatif. Syabas kepada generasi dahulu yang membuatkan saya kagum dengan kebijaksanaan dan kretiviti mereka menggunakan apa yang ada di sekeliling mereka untuk menghasilkan juadah-juadah yang enak ini. Lain kali, bila anda menikmati kuih-kuih tradisional, cuba renung-renungkan bagaimana orang-orang dahulu menghasilkannya.

Entahkan ia entahkan tidak tetapi pastinya begitu..



Monday, December 15, 2008

Indahnya kerlipan bintang.

Saya pernah bertanya kepada mak apakah yang mak, wan dan atuk selalu lakukan selepas makan malam, selepas solat isyak, sebelum masuk tidur, di zaman ketika belum ada radio dan televisyen dahulu. Kalau kita di zaman sekarang menonton televisyen atau astro menjadi perkara biasa. Pelbagai rancangan menarik disajikan, rancangan hiburan, agama, rencana atau drama . Dari terbitan tempatan atau luar negara.

Menurut mak, bagi orang dahulu, selalunya ahli keluarga akan berkumpul di satu ruang yang terangi olih beberapa pelita. Duduk bersembang-sembang tentang apa yang berlaku pada siang hari itu. Sambil duduk bersembang, kaum lelaki melepaskan penat dengan menghisap rokok daun atau menghisap paip atau curut, sementara kaum wanita melurut daun mengkuang atau menganyam tikar dengan santai. Bagi yang agak sudah berusia mungkin menggobek sirih lalu di kunyah hingga merah bibirnya. Kalau ada anak-anak kecil pulainilah masa mereka bergurau-gurau kecil sambil bermain bayang-bayang dari cahaya lampu atau pelita . Santai dan nyaman sekali di waktu malam. Lebih-lebih lagi jika langit malam dipenuhi bintang dan diterangi cahaya bulan yang samar.


Rumah orang sekarang lebih terang benderang di malam hari. Setiap bilik, setiap sudut di limpahi cahaya dengan pelbagai jenis lampu. Jalanraya-jalanraya juga diterangi olih lampu-lampu tiang hingga malam pun sentiasa terang. Malam sekarang tidak lagi gelap hingga orang sekarang tidak perasan adakah langit di taburi bintang atau atau dakah bulan sedang mengambang.

Orang sekarang bukan sahaja tidak lagi menikmati cahaya bulan dan kerlipan jutaan bintang di langit malam yang tenang bahkan mungkin terus tidak keluar rumah kerana asyik menonton pelbagai rancangan hiburan di televisyen. Ada yang menonton di ruang tamu, ada yang menonton dibilik sendiri.. Mungkin menjadi kebiasaan orang sekarang jarang-jarang satu keluarga dapat berkumpul di suatu ruang untuk bersembang mesra..?

Sunday, December 14, 2008

Tiada air paip, tiada mesin basuh?

Cuba bayangkan hidup kita tiada tv, tiada astro, tiada internet, tiada mesin basuh bahkan tiada air paip dan tiada letrik.. Juga tiada kereta untuk kita gunakan untuk membawa kita kemana-mana yang kita mahu, ke kedai, ke pasar atau sekadar bertandang kerumah saudara atau kerumah kawan. Juga, tiada telefon..apalagi telefon bimbit!

Itulah yang di alami oleh nenek-nenek dan atuk-atuk kita beberapa dekad yang lalu, sekitar tahun 40an hinggalah ke ambang merdeka. Kalau pun ada kereta di jalan raya, jarang-jarang sekali lalu kelibatnya, dan sudah tentu kenderaan itu kepunyaan penjajah, si orang Inggeris. Kebetulan kalau kepunyaan orang melayu, sudah tentu dia si orang kaya atau si kerabat di raja.

Kalau tiada air paip dari mana datang nya air untuk minuman, memasak, membasuh dan mandi? Air perigi atau air sungai lah sumbernya.. Air untuk minuman dan untuk memasak perlu di angkut dari perigi kerumah, di simpan di dalam tempayan dan di gunakan dengan cermat sekali supaya tidak membazir.

Di zaman itu tiada 'bilik mandi', jadi mandi dan membasuh pakaian perlu di lakukan di perigi atau di sungai.. Mandi dan membasuh pakaian selalunya di lakukan awal pagi supaya pakaian dapat di sidai di panas matahari untuk sempat kering sebelum petang menjelang. Kalau sudah tengah hari baru mereka nak membasuh baju bermakna tak kering lah baju-baju tersebut. Berbeza dengan kita sekarang yang menggunakan mesin basuh tak mengira waktu, pagi boleh, petang boleh, malam pun boleh.Mandi dan membasuh pakaian adalah aktiviti siang hari.. siapalah yang mahu ke perigi di waktu malam hari?

Akan bersambung di kali yang lain..

Saturday, December 13, 2008

Mulanya di sini

Salam permulaan..

Percaya atau tidak, saya baru berjinak-jinak duduk di hadapan komputer hanya beberapa bulan dahulu. Kalau tidak silap dalam bulan Jun 2008 yang lalu, tidak lama selepas saya mengikuti satu Kursus Penulisan yang di kendalikan olih Dr Umi Kalthum, rakan sepersekolahan saya. Beliau memberi tiupan galakan kepada saya untuk meluahkan apa yang tersembunyi dan tersimpan dalam minda saya.

Walaupun pada mulanya saya tidak berapa gemar duduk dihadapan komputer namun bantuan dan galakan daripada anak-anak memudahkan saya mulamenggunakan komputer.

Bermula dengan membaca e-mel, membaca resepi, saya kemudian membaca pelbagai topik semasa melayari internet hinggalah membaca blog-blog. Ketika itulah tercetusnya keinginan saya untuk meluahkan juga apa yang di dalam minda saya.

Mungkin bukan dalam bentuk sebuah buku seperti yang di syorkan oleh rakan saya, Dr Umi Kalthum, tetapi sekadar luahan minda dalam arena BLOG..

Setakat ini sebagai permulaan..

Hingga bertemu lagi.