Saturday, June 13, 2009

Kampung Halaman



Kampung halaman adalah segalanya pada saya. Apa tidaknya, sewaktu saya kecil seluruh keluarga saya tinggal bersama. Empat generasi semuanya tinggal di bawah satu bumbung. Generasi tertua terdiri dari atuk nyang dan nenek nyang, diikuti oleh anak mereka generasi yang kedua iaitu wan Keling dan suaminya tok ayah. Generasi ketiga ialah mak dan abah diikuti oleh generasi keempat iaitu kami adik beradik. Sehingga sekitar tahun enam puluhan rumah kampung kami di huni oleh tiga belas orang, enam orang dewasa dan tujuh orang kanak-kanak. Dua orang adik kami lahir dalam tahun tujuh puluhan.

Nenek nyang dan atuk nyang hanya dikurniakan dua orang anak, wan Keling dan atuk bah. Wan pula tidak dikurniakan anak lalu mengambil seorang anak perempuan atuk bah sebagai anak angkatnya. Ini bermakna mak, anak angkat wan, adalah anak atuk bah dan juga anak saudara wan sendiri. Nenek tinggal dengan semua 'keturunan'nya sebagaimana lazimnya orang negeri sembilan, dimana ibubapa akan tinggal bersama keluarga anak perempuan bongsu mereka.

Apa yang menarik tentang kampung halaman saya dizaman saya masih anak kecil, bukan sahaja ahli keluarga yang ramai tinggal bersama tetapi juga kerana kami ada pelbagai binatang peliharaan. Di sini saya senaraikan :-
1. Lembu - dalam dua puluhan ekor
2. Kerbau - hampir sepuluh ekor
3. Kambing - setengah dozen
4. Ayam - satu reban
5. Itik Jawa - sekawan
6. Itik Nila - sekawan
7. Kucing - beberapa ekor
8. Anjing - 3 ekor, 'jaga' kampung halaman

Bukan itu sahaja, di keliling rumah juga di penuhi pokok buah-buahan bermusim yang pelbagai. Saya senaraikan disini :-
1. Durian
2. Manggis
3. Langsat
4. Rambutan
5. Rambai
6. Cempedak - seberang sawah
7. Mangga kuini
8. Mangga bacang
9. Mangga pauh - di tepi kolam ikan

Selain itu ada pokok-pokok yang agak tidak lagi biasa didapati dikawasan rumah kediaman sekarang, sedangkan kami ada :-
1. Pokok kopi
2. Pokok durian belanda
3. Pokok kekabu
4. Pokok limau bali
5. Pokok mengkuang
6. Pokok petai
7. Pokok buah mentega - itu yang kami panggil kerana tidak tahu nama sebenar pokok tersebut
8. Pokok buah sentul

Tanam-tanaman berikut tentu sekali menjadi tanaman wajib ada di kawasan rumah kampung kami :-
1. Sawah padi
2. Kelapa
3.Pisang - beberapa jenis


Memang kampung halaman kami sekarang sudah jauh berbeza. Hanya mak dan abah yang tinggal di rumah pusaka yang sudah beberapa kali diubah-suai itu. Generasi pertama dan kedua sudah lama meniggalkan kami dan kami adik beradik semua sudah berkeluarga dan tinggal menetap di bandar. Hanya ateh yang tinggal di kampung, di rumahnya sendiri tidak jauh dari rumah mak dan abah. Dengan itu tiada lagi binatang peliharaan dan tiada lagi sawah padi. Hanya ada pokok kelapa, pisang, beberapa batang pokok durian, rambutan, manggis dan langsat sekadar untuk anak- cucu dapat merasa hasil kampung.

Walaupun begitu , kampung halaman kami, Kampung Tanjung Pisang, menjadi satu-satunya tempat yang dirindui dan yang menjadi destinasi utama di musim-musim perayaan oleh kami generasi keempat dan anak-anak serta cucu-cucu kami dari generasi kelima dan generasi ke enam.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur kita panjang
Ke kampung halaman kita kembali.












No comments:

Post a Comment