Monday, December 15, 2008

Indahnya kerlipan bintang.

Saya pernah bertanya kepada mak apakah yang mak, wan dan atuk selalu lakukan selepas makan malam, selepas solat isyak, sebelum masuk tidur, di zaman ketika belum ada radio dan televisyen dahulu. Kalau kita di zaman sekarang menonton televisyen atau astro menjadi perkara biasa. Pelbagai rancangan menarik disajikan, rancangan hiburan, agama, rencana atau drama . Dari terbitan tempatan atau luar negara.

Menurut mak, bagi orang dahulu, selalunya ahli keluarga akan berkumpul di satu ruang yang terangi olih beberapa pelita. Duduk bersembang-sembang tentang apa yang berlaku pada siang hari itu. Sambil duduk bersembang, kaum lelaki melepaskan penat dengan menghisap rokok daun atau menghisap paip atau curut, sementara kaum wanita melurut daun mengkuang atau menganyam tikar dengan santai. Bagi yang agak sudah berusia mungkin menggobek sirih lalu di kunyah hingga merah bibirnya. Kalau ada anak-anak kecil pulainilah masa mereka bergurau-gurau kecil sambil bermain bayang-bayang dari cahaya lampu atau pelita . Santai dan nyaman sekali di waktu malam. Lebih-lebih lagi jika langit malam dipenuhi bintang dan diterangi cahaya bulan yang samar.


Rumah orang sekarang lebih terang benderang di malam hari. Setiap bilik, setiap sudut di limpahi cahaya dengan pelbagai jenis lampu. Jalanraya-jalanraya juga diterangi olih lampu-lampu tiang hingga malam pun sentiasa terang. Malam sekarang tidak lagi gelap hingga orang sekarang tidak perasan adakah langit di taburi bintang atau atau dakah bulan sedang mengambang.

Orang sekarang bukan sahaja tidak lagi menikmati cahaya bulan dan kerlipan jutaan bintang di langit malam yang tenang bahkan mungkin terus tidak keluar rumah kerana asyik menonton pelbagai rancangan hiburan di televisyen. Ada yang menonton di ruang tamu, ada yang menonton dibilik sendiri.. Mungkin menjadi kebiasaan orang sekarang jarang-jarang satu keluarga dapat berkumpul di suatu ruang untuk bersembang mesra..?

No comments:

Post a Comment