Wednesday, December 24, 2008

Kuning, Jip dan Bobbi

Orang melayu pun pelihara anjing..?!

Hari ini saya tidak pernah dengar ada orang melayu, yang sudah tentunya beragama islam, ada memelihara anjing.

Semasa saya kecil, dalam era tahun enam puluhan, ramai jiran-jiran sekampung saya yang pelihara anjing di rumah mereka. Anjing di perlukan untuk menjaga keselamatan keluarga dan harta benda ketika itu. Salakan anjing peliharaan ini sahaja sudah cukup untuk menghalau binatang liar atau mungkin juga pencuri atau penceroboh untuk menghampiri rumah. Bagi tuan rumah pula, sebaik mendengar anjing peliharaan mereka mula menyalak, mereka tahu ada sesuatu yang perlu di beri perhatian. Mungkin ada orang datang berkunjung, atau mungkin ada kambing atau lembu jiran yang sesat melintasi kawasan luar pagar rumah mereka.

Umumnya orang kampung saya memelihara anjing memang untuk menjaga harta benda, khususnya menjaga padi simpanan mereka. Orang-orang kampung kami mengerjakan sawah padi dan hasil tuaian di simpan didalam satu binaan kecil yamg di panggil kepuk. Dalam keluarga kami kepuk di sebut 'kuwi'. Padi yang di simpan ini selalunya cukup untuk menampung keperluan seisi keluarga hinggalah ke musim menuai yang seterusnya. Memang orang kampung kami tidak perlu membeli beras untuk makanan harian ketika itu. Oleh kerana itu padi di simpan dan di jaga dengan baik dan anjing peliharaan dapat menghindarkan kemungkinan padi di curi.

Kebanyakan jiran memelihara se ekor anjing di setiap rumah. Ada jenis anjing peliharaan yang garang. Bunyi salakannya sahaja boleh membuat orang yang datang berkunjung kecut perut, apalagi sekiranya dia cuba mengejar..! Tuan rumah selalunya mengikat anjing garangnya dengan rantai ketiang rumah agar tidak mengejar orang.

Keluarga saya sendiri ada memelihara tiga ekor anjing. Kami sangat menyayangi anjing-anjing kami yang kami berikan nama kuning, jip dan bobbi. Kuning dan bobbi anjing yang agak matang sementara jip masih keanak-anakan, montel dan suka bermain-main. Anjing -anjing kami tidak garang jadi tidak perlu di rantai bahkan sangat pandai mendengar kata. Kalau abah balik dari kerja, ketiga-tiga ekor teman itu akan berlumba-lumba menyambut kepulangan abah. Ayam itik peliharaan mak tidak pernah di sentuh mereka, begitu juga kerbau dan kambing atuk dan lembu wan yang berpuluh ekor itu.. Kuning, jip dan bobbi adalah anjing peliharaan yang setia.

Apa yang menariknya ialah kami semua faham dan tiada masaalah dengan najis mughallazah yang tiga ekor itu. Seingat saya kami tidak akan bersentuhan apalagi berpelukan dengan kuning, jip dan bobbi seperti yang lazimnya di lakukan oleh pemelihara anjing dari bangsa dan agama lain . Kami sekadar bermain kejar-kejar atau bermain baling-baling kayu.

Kami orang kampung yang selalu pergi ke pinggir hutan yang berhampiran untuk mencari pucuk-pucuk kayu, memungut kayu untuk di jadikan bahanapi atau mencari kerbau atuk yang kadangkala sesat kehutan ketika meragut rumput. Walaupun usia masih kecil saya dan kakak atau abang tidak berasa takut untuk merayau di pinggir hutan untuk tujuan-tujuan berkenaan kerana pasti ada kuning atau jip atau bobbi yang ikut menemani. Bahkan kemana sahaja kami pergi, baik pergi memancing ikan di kolam ikan di tepian sawah bendang yang luas, atau menghantar makanan kepada wan yang mengembala lembu di kaki bukit, pasti kami di temani kuning, atau jip atau bobbi. Kami berasa selamat apabila ada mereka bersama.

Masa berlalu, kefahaman dan penghayatan islam meningkat. Untuk menjaga amal-amal islam khususnya dalam penjagaan taharah iaitu perkara yang berkaitan dengan najis dan bersuci, tidak ada kedengaran lagi orang melayu memelihara anjing.

Hakikatnya kuning, jip dan bobbi adalah sebahagian dari memori indah dalam sejarah hidup saya ketika kanak-kanak.


No comments:

Post a Comment