Tuesday, March 17, 2009

Beras Baru

Mmm..wanginya bau wap nasi yang baru masak dari beras baru... Aroma yang datang dari nasi beras baru yang baru di masak tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Sayang sekali hari ini kita sudah tidak dapat menikmati kewangian aroma ini lagi, kecuali mungkin mereka yang tinggal di perkampungan dan masih mengerjakan sawah bendang untuk keperluan sendiri.

Orang kampung saya di Kampung Tanjung Pisang sudah tidak lagi mengerjakan sawah bendang sekarang. Kami juga membeli beras seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain hari ini. Ya, kita lebih suka membeli dan memakan nasi dari Beras Wangi yang datangnya dari Siam atau Thailand. Kita juga suka makan nasi dari beras Basmathi yang lebih harum dari beras wangi siam. Kalau kita ke Sarawak, kita mungkin tercari-cari beras Bario selain ikan terubuk masin dan kek lapis Sarawak. Beras-beras tadi dan kebanyakan beras dalam pasaran selalunya lebih mahal harganya daripada harga beras tempatan yang juga ada dalam pasaran.

Saya percaya tiada sesiapa tercari-cari beras baru tempatan lagi. Yang ada di pasaran tentunya bukan lagi beras baru...

Tetapi saya...sesekali saya rindukan rasa beras baru, yang baru di masak, seperti yang mak masak ketika kami masih kecil dan keluarga masih mengerjakan sawah bendang dahulu.

Setiap kali lepas semua padi di bendang disabit, padi di banting untuk meleraikan padi dari batangnya. Kemudian padi dianginkan menggunakan kipas padi untuk mengasingkan padi daripada sekam dan daripada leraian batangnya. Padi yang sudah bersih barulah disimpan di dalam kepuk padi yang kami panggil 'kuwi'.

Untuk meraikan hasil tuaian padi kami, mak dan abah biasanya akan mengadakan kenduri doa selamat kecil-kecilan sekadar satu dua jambar dulang. Bang Muluk, pakcik Katan, pakcik Kancil, pakcik Zainal adalah antara yang selalu hadir selain Lebai Kassim yang jadi pembaca do'a.

Untuk kenduri tersebut lazimnya mak sudah bersiap-siap sehari dua sebelum itu.. Mak akan ambil sekadar dua tin(tin biskut yang besar) padi baru dari kuwi tadi lalu di jemur. Padi dijemur di atas tikar disatu lapangan yang abah buat khas, siap dengan lantai simen dan kepungan kawad untuk menghindar ayam, itik atau binatang lain memakan padi jemuran. Biasanya padi dijemur seharian.. Keesokannya padi dihantar untuk proses menjadi beras.

Hidangan kenduri do'a selamat ini ala kadar sahaja. Yang penting adalah nasinya... Nasi pertama dari beras baru hasil tuaian musim itu...! Saya sendiri pun tidak ingat lauk-pauk yang mak masak untuk hidangan kenduri. Yang saya ingat adalah...saya duduk bertimpuh di atas tikar, pinggan dihadapan saya di isi nasi dari beras baru yang baru dimasak dengan wapnya yang berkepul-kepul singgah di muka saya...warnanya putih dan berkilat dek kanjinya yang masih pekat...dan aroma wapnya yang wangi...mmm..




No comments:

Post a Comment