Tuesday, March 17, 2009

Majalah Filem dan SHOOT

Penggal baru sudah tiba dan angah sudah pun balek semula ke sekolah berasrama penuhnya Kolej Melayu Kuala Kangsar. Di masa itu kita tidak panggil sekolah angah 'Kolej Melayu Kuala Kangsar' tetapi kita selalu sebut MCKK atau MC sahaja. Atau 'kolej' sahaja pun cukup.

Kami adik beradik lain yang sudah bersekolah semua belajar di kampung atau di pekan kami sahaja, seperti juga budak-budak kampung yang lain. Tetapi angah dapat belajar nun jauh di negeri Perak, bukan di Negeri Sembilan, bukan di pekan kami dan bukan di sekolah di kampung kami.

Bukan senang untuk dapat masuk sekolah angah itu! MCKK! Khabarnya dari seluruh kampung dan pekan kami hanya 3 orang pelajar sahaja terpilih untuk masuk 'kolej'. Angah satu-satunya pelajar dari kampung kami yang terpilih dan angah adalah orang kampung yang pertama berjaya mendapat kejayaan itu. Agaknya ramai orang kampung yang kagum dan yang bangga. Ada juga yang cemburu atau pun meluat agaknya..maklumlah orang kampung.

Ketika itu saya masih baru dalam alam persekolahan. Sekolah pun di belakang rumah sahaja, di sekolah lama yang pernah menjadi satu-satunya sekolah didaerah kami semasa zaman jajahan Jepun. Saya kurang pasti kenapa angah perlu belajar di sekolah yang begitu jauh dari kampung halaman hingga perlu naik kereta api! Apalah bezanya dengan sekolah yang ada di pekan kami, sekolah tempat along belajar, juga tempat ramai kawan-kawan angah sendiri belajar.

Bila penggal sekolah sudah sudah bermula dan angah sudah kembali ke kolejnya barulah kita berani masuk bilik angah. Saya suka melihat barang-barang angah. Sentiasa kemas tersusun. Di dalam almari bilik itu tersusun rapi bahan bacaan yang sengaja angah tinggalkan dirumah. Ternyata bahan bacaan yang angah tinggalkan lain daripada yang lain. Lain daripada bahan bacaan yang sedia ada di rumah.

Sebenarnya tidaklah banyak bahan bacaan dirumah kami masa itu. Selain akhbar harian Utusan Melayu dalam tulisan jawi yang di baca oleh abah, ada juga bahan bacaan lain yang rasanya kepunyaan along seperti Majallah Filem dan Mestika. Majalah Filem adalah majalah hiburan yang antara lain memaparkan kisah 'seniman' dan 'seniwati' filem yang sedang mencipta nama ketika itu seperti P.Ramlee, Sarimah, juga seperti Saloma dan lain-lain. Mestika pula adalah majalah ilmiah yang memuatkan rencana-rencana ilmuan, bahan sastera seperti sajak dan cerita pendek dan lain-lain.

Alam persekolahan memberi saya satu kemahiran baru kepada saya iaitu membaca. Rumi dan Jawi. Saya menjadi suka membaca, apa sahaja yang boleh di baca saya akan baca. Suratkhabar abah, majalah-majalah kepunyaan along, kisah-kisah nabi, bahkan Atlas pun saya 'baca' kerana saya dapat mengenali nama dan di mana letaknya pelbagai negara yang bertaburan di dunia ini.

Alangkah terujanyanya saya apabila melihat bahan bacaan kepunyaan angah, yang lain daripada yang lain itu. Teruja bercampur sedikit kecewa bercampur penuh azam kerana hampir semua buku angah dalam bahasa Inggeris..!
Tetapi semuanya menarik..
Ada komik perang..komik perang zaman kuno, Hercules atau Alexander the Great, saya kurang pasti.
Ada komik perang dunia.. Perang Dunia pertama atau Perang Dunia kedua, saya kurang pasti.
Ada komik kartun, Beano?
Ada majalah kecil yang sungguh menarik, namanya 'Readers' Digest.
Ada buku cerita dongeng rakyat dari seluruh dunia.
Dan beberapa jenis bahan bacaan lagi.

Dalam banyak-banyak bahan bacaan ada satu majalah yang benar-benar menarik perhatian saya. Tidak saya sangka ada majalah seperti itu! SHOOT nama majalah itu. SHOOT adalah majalah bolasepak Inggeris. Memaparkan berita pasukan-pasukan dan pemain-pemain bolasepak Inggeris yang masyhur. Setiap halaman SHOOT dipenuhi foto-foto yang ceria dan warna-warni. Walaupun masa itu saya tidak tahu apa-apa tentang bolasepak, apalagi bolasepak Inggeris, saya tetap menjadi asyik menatap majalah yang menarik itu.

Selain bahan bacaan, angah juga ada berkongsi beberapa permainan yang baru bagi kami. Angah memperkenalkan permainan Catur, Domino, dan beberapa permainan menggunakan kad.

Agaknya memang benarlah sekolah angah berbeza dari sekolah lain. Banyak ilmu baru yang di dapatinya semasa belajar di MCKK. Rasanya saya juga mendapat sedikit sebanyak tempias pendedahan kpd ilmu baru itu daripada angah.

Terima Kasih angah.


No comments:

Post a Comment